Anugerah Terindah

Kredit: Keluarga Inspirasi Cinta dan Motivasi

Pada suatu petang, saya sudah bersiap-siap berkemas ingin pulang ke kuarters selepas tamat sahaja waktu pejabat jam 5.00 petang. Ketika itu saya sedang menjalani praktikal sebagai kaunselor pelatih di salah sebuah politeknik di utara tanah air.

Semasa sedang sibuk membelek dan melihat notifikasi whatsapp yang masuk di telefon bimbit, saya terbaca pesanan ringkas umi di dalam group whatsapp keluarga. Ringkas tetapi agak menyesakkan jiwa. Abah terpaksa dikejarkan ke hospital selepas mengalami masalah pernafasan dan sakit jantung. Saya terus menghubungi umi bertanyakan tentang keadaan dan situasi di sana kerana hanya tinggal umi dan dua orang adik perempuan kecil yang masih bersekolah sahaja di rumah.

Umi seorang yang agak kuat dan cekal juga apabila tidak membenarkan anak-anaknya pulang ke rumah. Namun, saya tetap bertegas untuk pulang dan sudah memaklumkan kepada kakak dan dua orang adik lelaki yang lain agar terus pulang ke rumah. Hanya tinggal saya seorang sahaja yang memerlukan masa yang lama sekitar tujuh ke lapan jam untuk sampai ke Kuantan (ayah dipindahkan ke hospital Kuantan ketika itu) dengan perjalanan menaiki kereta ditemani seorang sahabat. Kakak dan dua orang adik lelaki yang lain melanjutkan pelajaran di Kuala Lumpur dan Johor sahaja dan tidak memerlukan masa yang lama untuk sampai.

Dipendekkan cerita, kami adik beradik selamat sampai di hospital Kuantan dan dimaklumkan bahawa abah berada dalam keadaan stabil dan dalam pemantauan dan jagaan doktor. Kuasa dan kehendak Allah, tiada siapa mampu menghalang. Abah disahkan bahawa beberapa saluran jantungnya tersumbat sehingga saluran tertutup 99% tetapi Allah masih memberikan ruang dan peluang kepada kami, masih meminjamkan seorang suami kepada umi dan seorang ayah kepada anak-anaknya. Doktor juga agak terkejut lagi-lagi apabila melihat tahap kesihatan abah yang kembali sihat dan stabil dengan begitu cepat. Abah dibenarkan keluar selepas ditahan di wad hospital selama tiga hari.

………………………………………………..

Kini, kehidupan berjalan dan diteruskan seperti biasa. Sudah dekat dua tahun kejadian dan pengalaman tersebut berlalu. Belum lagi diceritakan keadaan umi pada ketika itu yang pernah dikejarkan ke hospital bahagian emergency kerana tidak cukup rehat dan kurang tidur risaukan keadaan abah. Bezanya, pengalaman lepas menjadi pengajaran buat kami sekeluarga untuk lebih menghargai antara satu sama lain. Walaupun adat dalam kehidupan berkeluarga ada pahit manisnya, tetapi tetap menjadi perencah yang mengeratkan dan memberi makna terhadap hubungan kekeluargaan. Jika tidak, sudah pasti ia menjadi kenangan abadi buat kami sekeluarga. Benar! Kematian itu pasti. Sejauh mana pun kita merasakan kita sudah bersedia untuk menghadapi kematian, kita tetap tidak dapat menjangka bilakah waktu, situasi dan keadaan insan yang disayangi dijemput pergi oleh Ilahi. Apatah lagi diri kita.

Umi; Dialah yang paling sibuk setiap hari. Bangun seawal pagi untuk mengejutkan anak-anaknya yang lain bersekolah, menyiapkan sarapan, sediakan bekal, siapkan pakaian untuk abah ke tempat kerja, siapkan pakaian untuk anak-anaknya ke sekolah. Setelah semuanya selesai, barulah dia menumpukan perhatian pada dirinya untuk bersiap ke tempat kerja. Ada masanya pulang ke rumah pada waktu tengah hari untuk siapkan makanan tengah hari. Pada waktu malam, dialah yang menjadi imam ketika solat berjemaah bersama-sama kakak dan adik perempuan yang lain. Sentiasa mengingatkan kami agar tidak pernah meninggalkan solat dan Al-Quran walaupun sehari.

Abah; Dialah yang mengatur segala-galanya di rumah dari segi kewangan, menyediakan segala keperluan dan kehendak lahiriah anak-anak dan kekemasan bahagian luar rumah. Tidak boleh duduk diam langsung, ada sahaja kerja yang ingin dibuatnya. Tukar mentol lampu la, baiki paip air la, pasang kawat pagar la, potong rumput di halaman la dan sebagainya. Belum lagi diceritakan kisahnya bersama-sama kucing belaan yang banyak di belakang rumah. Selalu sahaja bergaduh. Haha! Dahulu, selalu disuruh buat itu dan ini semasa kami pulang ke kampung di Pahang. Maklumlah, halaman rumah arwah tok (nenek) luas dan besar. Memang banyak kerjanya. Dahulu, apabila disuruh membantu, agak liat dan malas juga kecuali apabila diberikan upah ais krim. Haha! Ada sahaja upahnya. Dialah juga yang tidak miss solat berjemaah di masjid. Malu juga sebenarnya. Maklumlah, kita ini selalu masbuk sahaja. Kalau terdapat anugerah masbuk di masjid, mungkin sayalah pemenang utamanya diikuti adik-adik lelaki dua orang yang lain. Haha! Agak tegas dan garang orangnya. Tetapi itulah yang membentuk kami adik-beradik pada hari ini. Tidak ingin menyalahkan takdir kerana sedar punya hikmah yang besar buat kami adik-beradik. Berbeza ya didikan mak-mak dan ayah-ayah dahulu dengan sekarang.

……………………………………………..

Tidak lengkap suami tanpa isteri, begitu juga sebaliknya. Tidak lengkap ayah tanpa ibu, begitu juga sebaliknya. Tidak lengkap ibu bapa tanpa anak-anak sebagai penyeri dan pengikat hubungan suami isteri. Hari-hari adalah Hari Ibu dan Hari Bapa.

Ada hak yang perlu ditunaikan oleh ibu bapa terhadap anak-anak. Begitu juga hak ibu bapa yang perlu ditunaikan oleh anak-anak. Oh! Kami ni adik-beradik yang agak nakal dan tidak mendengar kata sebenarnya. Tapi itulah kan… Anak- anak punya fasal. Haha! Semoga keluarga kami dan anda dalam rahmat dan lindungan Allah sentiasa. Tidak dinafikan, kita masing-masing punya kekurangan tetapi kita mestilah sentiasa sedar dan berusaha untuk memperbaikinya dan menjadi lebih baik. Memaafkan dan saling menerima di dalam kehidupan berkeluarga sangat membantu untuk membentuk hubungan kekeluargaan yang baik dan harmoni.

Buang segala sifat negatif, tanam dan pupuk segala sifat positif. Bentuk keluarga sesuai dengan acuan agama agar kita dapat membentuk masyarakat yang baik budi pekertinya dan saling menghormati. Kitaran perubahan bermula dengan diri kita terlebih dahulu, keluarga, masyarakat, rakyat dan negara. Acuan inilah yang akan membantu kita menyediakan pemimpin yang baik, amanah dan bertanggungjawab untuk negara.

Didiklah diri dengan kehidupan beragama. Bak kata penulis Hilal Asyraf dalam karyanya, Hero; Jangan sampai kejahilan mengetuk pintu rumah kita. Sedarlah, pada ketika itu, semuanya sudah terlambat. Wallahu’alam.

*Nukilan ini telah mendapat kebenaran daripada pihak tertentu untuk dikongsi. Semoga kita peroleh pedoman dan pengajaran daripada kisah ringkas ini. Terima kasih.

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s